Friday, 30 November 2012

Kem Solat Remaja 2012, Masjid Negara (23-25 Nov 2012)

Baru-baru ni, Cik Nadia dan Encik Najib telah menghadiri Program Kem Ibadah Remaja Siri 2/2012 bermula 23 November sehingga 25 November 2012 di Masjid Negara, Jalan Perdana, Kuala Lumpur yang telah dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Dakwah dan Ibadah, Masjid Negara http://www.masjidnegara.gov.my/portal/ dengan kerjasama Syarikat Asasinsan Resources & Training http://www.asasinsan.com/ .
Program tiga hari dua malam yang bertemakan “Kami Amat Menyayangi Rasulullah S.A.W.”, ini disertai kira-kira 145 orang pelajar yang terdiri daripada 87 pelajar lelaki dan 58 orang pelajar perempuan yang berusia antara 13 tahun hingga berusia 17 tahun.

Antara objektif utama Program ini dijalankan adalah untuk:
  • Membimbing kanak-kanak muslim melalui pembudayaan gaya hidup sihat, imej diri positif dan tinggi daya saing dalam usaha menjadi hamba Allah, anak, rakan, pelajar dan warganegara yang unggul.
  • Membantu ibubapa mempelbagai pendekatan dalam memantau tumbesaran personaliti anak-anak.
  • Membantu Masjid memperkaya program mendekati kanak-kanak dengan lebih praktikal, berkesan dan menarik.
  • Mendapat tips-tips bagaimana menjadi insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.
  • Melahirkan generasi yang beriman dan teguh dengan jati diri seorang muslim.
  • Membangkitkan kesedaran untuk melakukan perubahan positif dalam hidup.
  • Membentuk daya tahan dan benteng diri dari gejala sosial.
  • Memberi kefahaman akan kepentingan ibadah dalam kehidupan.

  • Mendedahkan kaedah solat yang betul dan rahsia di sebalik suruhan Allah.
Antara pengisian sepanjang Program ini berlangsung ialah:
  •  Aqidah dan Ibadah- Mengupas konsep asas kejadian insan, asas aqidah dan ibadah serta perkaitannya dengan jatidiri remaja Melayu dan Muslim.
  • Akhlak dan Imej diri – Mengupas kepentingan akhlak, personaliti dan hubungan sesama dalam membina kejayaan sebagai seorang muslim.

  • Kemahiran kendiri dan ikhtiar hidup - Menggalakkan peserta berusaha untuk berfikiran kreatif, berani mencuba dan berdikari dalam menjalani kehidupan harian melalui amalan pengurusan kendiri sihat.
Semasa Majlis Penutup, Program ini yang dirasmikan oleh wakil Imam Besar Masjid Negara, YBhg. Ustaz Ehsan bin Mohd. Hosni yang juga Penolong Pengarah Kanan, Unit Penyelarasan Dakwah dan Ibadah, Masjid Negara menyatakan bahawa Program ini di rangka khusus bagi membantu para remaja membina kecemerlangan diri menjadi insan yang soleh dan berakhlak mulia di samping meningkatkan motivasi peserta, selain dapat membimbing peserta mengenai tanggungjawab sebagai seorang anak, pelajar, ahli masyarakat dan hamba Allah. Beliau turut menyampaikan sijil penyertaan kepada semua peserta yang menyertai Program ini.

Salah satu aktiviti yang paling menarik ialah Sembahyang Sunat di waktu malam berseorangan dan mereka diletakkan secara rawak dimana-mana sahaja di sekitar kawasan masjid.  Aktiviti ini amat penting untuk mengubah tanggapan dan budaya masyarakat kita sekarang yang terlalu ‘memilih’ lokasi untuk bersolat menyebabkan mereka lebih gemar menjadikan surau dan masjid sebagai tempat ‘wajib’ untuk beribadah sedangkan rukun Islam kedua itu boleh dilaksanakan di mana saja.

Inilah yang ditekankan oleh Ketua Fasilitator Kem Ibadah Masjid Negara, M K Fuad Che Ab Razak.  Beliau juga berkata, masyarakat kita tidak biasa dengan budaya solat di mana saja menyebabkan ada di kalangan mereka yang sanggup beratur panjang untuk menunggu giliran di surau yang kecil.


Encik Fuad juga berkata, tidak menjadi masalah kepada umat Islam di negara ini untuk menyegerakan kewajipan bersolat dengan melaksanakannya di mana-mana, apatah lagi bumi Allah begitu luas dan suci untuk menunaikan solat.

Anak-anak ini juga diajar untuk mengambil wuduk dengan menggunakan air sedikit.  Ini juga mengajar mereka yang tiada alasan tidak cukup air sekiranya untuk mengambil wuduk walaupun hanya mempunyai sebotol air mineral.


Dan juga, mereka di sedarkan dengan tangunngjawap anak terhadap ibubapa seperti mendoakan ibu bapa setiap kali lepas sembahyang.

Banyak lagi aktiviti menarik dan kalau nak tahu kenalah mendaftar untuk program seterusnya.

Saya menyarankan semua ibubapa agar menghantar anak-anak ke Kem sebegini.  Yuran penyertaan pula tidak mahal dan tidak terkira denagn ilmu dan pengalaman yang dapat dikutip sepanjang mereka berada di sini dan wang itu juga disalurkan untuk tabung masjid.  Ia juga berjaya mendekatkan hati anak-anak kita dengan masjid.

No comments:

Post a Comment